Wednesday, December 15, 2010

DOA YANG SELALU MENGALIR DARI SUNGAI KE SUNGAI

O…Tuhan
aku tidak pernah ingin berlari ke arah orang-orang suka membantah
bak matahari muncul di jendela saban pagi
atau daun terpaksa gugur bila sampai waktu dalam janji
dengan segala apa yang ditakdirkan
walaupun kadangkala ternyata tak memenuhi
keluasan padang kehendak di puncak hati

aku pun tidak upaya menghantar diri
dalam suasana mengumpati segala langkah hidup
yang telah dijalani

doa yang selalu mengalir dari sungai ke sungai
tanpa muara
Engkau mempersampai langkah kaki ke wilayah lebih taat
dan berikan laluan untuk lebih sibuk beribadat
bukan kerana bermimpi manis menakluki syurga-Mu penuh nikmat
bukan kerana gentar akan kedahsyatan azab-mu di akhirat
tapi demi hati benar-benar mewarnai ikhlas
pada bening embun yang menderas

O…Tuhan
demi cinta syahdu di langit biru
yang memiliki ketenangan yang terdalam
surat-surat-Mu kubaca berulang-ulang
tanpa koma, noktah
sampai aku lelah
dan rebah

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka.

[Tersiar di HARAKAH edisi 4 – 7 Oktober, 2010]

No comments:

Post a Comment