Sunday, February 7, 2010

BIADABNYA ENGKAU

Biadabnya engkau
melampau
saudara-saudaraku di Palestin
engkau minum darahnya
engkau kunyah mamah hatinya
penuh ‘kegilaan’ dan ‘barua’

Biadabnya engkau, Israel
menodai tanah Palestin
yang sebenarnya engkau tidak ada hak sedikitpun
engkau hanya pendatang yang menumpang

Buat selama-lamanya
engkau adalah tetap musuh kami orang-orang Islam
musuh Allah !

Karya,
Mohd Adid Hj Abd Rahman,
SMK Selandar, Melaka.
Tersiar di Berita Minggu

AKU SUDAH TERJAGA

Wahai Tuhan
hulurkan seberkas kewangian para malaikat
pada hati yang dirayapi debu-debu mazmumah
yang menyebabkan aku hidup
mengikut arus deras
ke muara kesesatan
tanpa warna akhlak biru
di bawah suluh nur-Mu

Aku sudah terjaga dari tidur
bernapas dalam kabus keangkuhan
yang mengundang kemurkaan-Mu
lalu segala debu ini
Engkau bersihkan
untuk kemudian akupun menjelma wangi
dalam sebuah pengabdian sejati
seorang hamba
yang diredai

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, 77500 Selandar,
Melaka.

Utusan Melayu Mingguan,
16 Mac, 2009

AKU INGAT PADAMU

bulan meniti permatang keterpujian akhlak
memaniskan sosok peribadi para solihin
petiklah mawar-mawar segar sebagai budaya yang tak terpisahkan
memang pada permulaannya dirasakan sangat sukar

dalam rangkum kelam begini ketika cahayamu
terlipat tepat pada waktunya, rindu pun melompat
dari bilik persembunyian
terhadap belaian jari jemarimu yang lembut mesra
pasti saja kusut seribu benang di kepala
menaiki kapal karam dalam lautan sepi terdalam
o…keroncong ini sungguh mententeramkan sekali!

aku ingat padamu dengan segala kecantikan yang kautakluk
bukan kerana cinta anak muda yang selalu ada pasang-surutnya
namun mengagumi kekuasaan dan kebijaksanaan Tuhan
yang mengujudkanmu di alam ujud

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Melaka.
Mingguan Wasilah 11 Julai, 2009

AKU DATANG MEMBERI SETANGKAI KEMBANG

seribu asap mengepul dan ladang-ladang subur mengunyah kepahitan
senja itu menghantar jilatan api
berada di langit hatimu
aku datang memberi setangkai kembang; mengukir harapan
memang terlalu manis dan kebahagiaan menjadi buruan setiap orang.

inilah tanda rimbunnya pohon persahabatan dan persaudaraan
biar apa yang kaurasa saat ini menghilang di balik pintu
yang tersimpan sejuta gegar sunyi;
bayang-bayang tiada lagi berdegup
ketika matahari benar-benar tertutup


Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka

Mingguan Wasilah,
24 Mei, 2009