Friday, April 30, 2010

SEMOGA ENGKAU TETAP SELESA DALAM PELUK TUHAN

SEMOGA ENGKAU TETAP SELESA DALAM PELUK TUHAN

1
saban hari
sebaik sampai rumah dari bendang ilmu
engkau tak pernah lupa bertanya
dengan nada suara kasihsayang
apakah aku sudah makan
engkau tak pernah lupa bertanya
apakah aku sudah mandi dan tukar pakaian
engkau tak pernah lupa bertanya
dengan penuh tanggungjawab
apakah aku sudah berdoa pada Tuhan

2
semalam
ketika aku pulang dari menyanyi dendang perantau
demi mencari sinar sebanyak mungkin bagi malam-malam
demi mencari balut sebanyak mungkin bagi luka-luka
engkau pun pulang ke mana asal datang
tanpa isyarat
tanpa selamat tinggal terucap

3
putih doaku mengiringi
semoga engkau tetap selesa dalam peluk Tuhan
melebihi manisnya pelukmu bagiku sewaktu kecil


karya,.
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka.

[TERSIAR DI BERITA HARIAN, 1 MEI 2010]

Monday, April 26, 2010

SUARA AZAN

suara azan sejak mula kukenal dia, menghafal setiap helai dari tubuhnya
tak pernah berubah warna rupa setia meniti daun-daun muda
sesegar angin yang membisik
tak sedikit pun disentuh musim garing; pahitnya merentasi
seluas gurun ratapan

menyeru insan-insan tanpa jemu
dalam suara ombak yang selalu menyapa pantai
tidak sekalipun terdorong mengikuti matahari
yang terbenam di ufuk barat
menuju ke jalan yang menemukan kebenaran yang jelas
semisal satu titik sinar muncul di tengah-tengah rimba kelam

namun ternyata secuil saja yang sempat mendengar
lalu bergegas ke rumah Tuhan
untuk menghantar sebuah sujud terikhlas
selebihnya semacam langsung tak terlibat
leka bermain-main dengan sinar duniawi
yang sifatnya sementara
yang kan pasti sirna
bila tiba waktu yang telah dijanjikan

suara azan dari surau tua di ujung kampung itu
sudah sebati dengan sunyi
kerana bilal sudah menutup usia
akan adakah seseorang yang datang
menggantikan tempatnya?
agar aku tetap dapat menghirup suara azan
agar aku tetap tidak lupa pada Tuhan
yang selalu baik pada insan

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, 77500 Selandar,
Melaka.

[disiarkan di UTUSAN MELAYU MINGGUAN
PADA 26 APRIL, 2010]