Sunday, March 28, 2010

BENARLAH CERITA KAWANKU SUATU PETANG

(I)
benarlah cerita kawanku suatu petang
orang-orang kini sanggup meniti permatang waktu yang panjang
tanpa berasa lelah bercakap ria di depan tv
sehingga terlupa menatap wajah diri di depan kaca
telah tergelincir ke gaung tanpa harga diri;
ladang terbiar ditumbuhi pohon-pohon liar
pemiliknya boleh jadi telah meninggal
atau bersikap malas & tak bertanggungjawab?
bak hati diselubungi seribu asap
terkucil sentuhan nur hidayah

(II)
benarlah cerita kawanku suatu petang
saf-saf di surau kini kian bertambah kurang
setiap waktu. oh…ngilunya peristiwa
seperti nyala pelita condong menyurut
memberi isyarat sebentar lagi
ada burung terbang ke wilayah sunyi
mengikut matahari tenggelam
dalam waktu yang sama
orang-orang berbondong-bondong ke lapangan
ada konsert atau pesta tanpa diseru;
di halaman segerombolan semut
berlumba-lumba menghantar diri ke sudut
di mana gula terlonggok

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Tmn Jus Perdana, Melaka.

10 Ogos, 2009
[Tersiar di Harakah, 29 Mac – 1 April, 2010]