Showing posts with label BUAH PENA. Show all posts
Showing posts with label BUAH PENA. Show all posts

Saturday, January 30, 2010

2009

masa berlari terus...

tanpa perhentian bas

tiada kapal berlabuh

hujan pun teduh

kini musim baru 2009

bertenggek di ranting

membeberkan hari-hari

yang penuh liku dan duri

untuk dijejaki kiranya dengan diri yang gagah

dada penuh waspada & tabah

nyala semangat waja yang menjulang

agar supaya tidak lagi kecundang

dalam mengejar sekuntum mimpi yang mawar

hidup yang terhormat

tiada lagi air mata orang-orang bangsat!

di musim baru ini

kita menghitung kembali jejak-jejak

yang tertinggal di jalan semalam

melihat wajah terpantul di cermin

lantas bacalah

kekurangan berapa?

yang salahnya apa?

kita kutip kuntuman senyum yang gugur

semanis bintang-bintang ketawa di kolong langit

tanpa bertangguh

sebab betapapun cantiknya harapan

jika tiada usaha gigih akan jadi sia-sia belaka

lihatlah buih-buih yang memutih molek

akhirnya pecah-berderai

apa gunanya?

Nukilan,

Mohd Adid Ab Rahman

SMK Selandar.

UTUSAN MELAYU MINGGUAN

JANUARI 2009

SURAT-SURAT-MU


tiada yang lebih indah

selain keindahan ukiran bahasa surat-surat-Mu

tiada yang lebih bahagia

selain kebahagiaan sehabis membaca surat-surat-Mu.

surat-surat-Mu kubaca berulang-ulang

rindu dan iman kian bertambah

kebahagiaan jadi melimpah-ruah

surat-surat-Mu akan kubaca berulang-ulang

sampai masanya aku pun terpaksa berangkat pulang.

Karya,

Mohd Adid Ab Rahman

SMK Selandar, Melaka.

Tersiar di Wasilah: 8 – 14 Nov 2009

KITAB TUA

kau kitab tua

seperti di rumah semalam juga

tergeletak sepi tanpa disentuh

sepertinya bernafas dalam udara padat seribu debu

lalu orang-orang giat membina hidup

tanpa nasihat dan petuamu

mereka lebih betah memilih tuntutan nafsu

yang berjanji hidup disaluti madu

padahal nasib buruk padam seribu lampu

bagi sebilangan insan

yang mahu bermesra dan mengakrabimu

dengan rasa sangat perlu

dada terisi pasti

diri terias akhlak terpuji

hidup selamat & berkat

di dunia & akhirat


karya,

Mohd Adid Ab Rahman

SMK Selandar, Melaka.

Telah tersiar di Harakah 16/11/2009

DALAM SENYUMMU

Dalam senyummu di langit pagi

memancarkan pesan & petua agar perjalanan hidup

tidak menelusuri lorong-lorong kelam

yang menyembunyikan segala kebenaran

aku belum mampu terjemahkan sepenuhnya

apakah itu gamitan cinta orang muda

atau sekadar jambatan mengajakku bersahabat?

namun yang pasti tereja di helaian kertas

sebuah kejujuran yang tak dapat dibeli

dengan emas atau wang.


Aku pun suka dengan bau senyummu

yang sukar kutiru

dalam kabut derita

yang mencengkam hati perasaan

bak langit disinggahi musim tengkujuh

berikan segumpal bimbang pada hati nelayan

dan si penoreh getah

di sudut rumah kemiskinan


karya,

Mohd Adid Ab Rahman

Selandar, Melaka.

24 Okt 2009

Tersiar di Suara Keadilan pada Nov. 2009